Tuesday 19 August 2014

Putrajaya...


Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999. 

Putrajaya asalnya adalah lokasi sebuah ladang iaitu Ladang Prang Besar dan Ladang Sedili berhampiran dengan Bandar Baru Bangi yang menempatkan lebih kurang 100 keluarga. Kawasan yang pada suatu masa dahulu tidak terbayang akan menjadi sebuah kawasan yang serba moden kini telah bertukar menjadi sebaliknya apabila kawasan ini diberi nama Putrajaya. Putrajaya bakal menjadi sebuah Bandar raya pintar yang akan menggunakan teknologi paling moden serta sistem elektronik yang canggih.

Putrajaya dibangunkan secara berperingkat-peringkat untuk menempatkan beberapa buah Kementerian yang akan dipindahkan secara berperingkat selaras dengan rancangan pembangunan akan datang. Pembangunan Putrajaya diasaskan kepada dua faktor utama iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan Makhluk. Hubungan manusia dengan Tuhan dibuktikan melalui pembinaan Masjid Putra yang mendahului pembinaan penting lainnya. Kehijauan alam yang masih kekal dan terpelihara pula adalah pemangkin hubungan manusia dengan makhluk.


Kedudukan Putrajaya adalah berhampiran dengan Cyberjaya iaitu Bandar Raya Pintar yang pertama di dunia. Seni bina Putrajaya itu direka bentuk dan diuruskan oleh Putrajaya Holding iaitu sebuah syarikat milik Malaysia dengan menggunakan 90% bahan tempatan dengan reka bentuknya diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya. Bandar ini dirancang sebagai taman bestari yang meliputi kawasan seluas 4581 hektar yang mana 70% daripada kawasan ini dirancang akan diliputi oleh pohon-pohon yang menghijau serta dihiasi dengan taman bunga, taman air, tanah berpaya dan tasik serta kemudahan lain yang melambangkan mesra alam yang meliputi kawasan hijau dan tasik seluas 600 hektar. 

 


Putrajaya Holding yang ditubuhkan oleh kerjaan merupakan pemaju keseluruhan projek dan bertanggungjawab mendapatkan dana awam untuk mengendalikan pembangunan atas tapak seluas 4581 hektar. Syarikat ini dijangka mampu mendapat keuntungan berjumlah lebih RM400 billion hasil daripada pembangunan tanah di Putrajaya pada tahun 2025. Kedudukan Putrajaya ini begitu strategik di tengah kawasan pesat membangun serta berhampiran dengan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Tidak lama lagi Putrajaya akan menjadi pusat pentadbiran tercanggih, menggantikan Kuala Lumpur. Bandar ini mampu menampung seramai 76000 kakitangan kerajaan iaitu lebih kurang 10% daripada jumlah kakitangan kerajaan dan 59000 orang bagi sektor swasta. 


Putrajaya diwujudkan dalam sebuah kawasan khas Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilengkapi dengan peralatan moden dan terkini. Pembinaan Putrajaya akan mengurangkan kesesakan di Bandar Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan kerana Putrajaya dikhaskan sebagai pusat pentadbiran kerajaan. Sebagai contoh, Washington, Canberra, dan Johannesburg merupakan pusat-pusat pentadbiran. Manakala New York, Sydney, dan Cape Town pula adalah pusat perdagangan. Di yakini Putrajaya juga akan mampu menjadi pemangkin terhadap pembangunan Bandar-bandar berhampiran dengannya serta menawarkan keadaan persekitaran kediaman yang selesa. Sehingga kini kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM400 juta untuk kemudahan awam di Putrajaya.

Matlamat kerajaan membina Putrajaya bukan sahaja untuk menyediakan pusat perkhidmatan yang cekap, malah juga berusaha mewujudkan sebuah sistem yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada golongan swasta yang kini dianggap penting kerana menyumbang kepada pendapatan negara. Kawasan seluas 4581 hektar dan terletak hanya 25 kilometer dari pusat Bandar Raya Kuala Lumpur ini mengandungi 20 kawasan bangunan kerajaan (239 hektar), komersial (130 hektar), sivik dan kebudayaan (10 hektar), utility dan infrastruktur (849 hektar) dan selebih kawasan terbuka. 

Dengan terbinanya pusat pentadbiran baru ini, bukan sahaja menawarkan pulangan yang lumayan dari segi komersial tetapi juga mampu memberikan keselesaan kepada pentadbiran Negara. Nilai tanah pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur yang dipindahkan ke Putrajaya ialah lebih RM20 billion manakala kos keseluruhan pembinaan Putrajaya ialah RM23 billion. 

Putrajaya yang berharga RM23 billion itu, kini sudah mula dihuni oleh kakitangan kerajaan Jabatan Perdana Menteri. Putrajaya dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2002 dan bandar itu dijangka mampu menempatkan 330 000 penghuni. Pembinaan Putrajaya dalam jangka masa panjang di yakini mampu memberi pulangan yang menggalakkan kepada Negara serta menjadi pemangkin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan bagi membolehkan negara kita setaraf dengan Negara maju lainnya.