Beliau membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, beliau yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci,mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya. Di sebalik kesibukan itu, beliau juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Saidatina Fatimah daripada bermunajat dan beribadah kepada Allah swt. Malam2 yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al-Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya akan mengalunkan irama Al-Quran. Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, beliau dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah saw.
Setelah berkahwin, kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Saidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah saw yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Saidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun, beliau tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun, bagi Saidatina Fatimah, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah swt untuk mencari kasih-Nya melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang pemergian Saidina Ali itu, hanya anak2 yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah beliau sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala beliau berlapar sepanjang hari. Sering juga beliau berpuasa dan sehinggakan tubuhnya sangat kurus sehingga menampakkan tulang di dadanya.
Pernah suatu hari, sedang beliau tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah saw datang berkunjung ke rumahnya. Saidatina Fatimah yang amat kletihan ketika itu lalu menceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah saw. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Beliau berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Saidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Saidatina Fatimah sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Saidina Ali menyebabkan Allah swt mengangkat darjatnya. Saidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga beliau meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya. Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Saidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Beliau tidak sangup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Beliau tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan beliau tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang sepadan sekali berpasangan dengan Saidina Ali ini kerana Saidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.
Namun, pernah suatu hari, Saidatina Fatimah telah menyebabkan Saidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Saidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak beliau mengelilingi Saidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Saidatina Fatimah itu, tersenyumlah Saidina Ali lantas memaafkan isterinya itu. "Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu." Rasulullag saw memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda.
Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah swt sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Saidatina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga beliau menrungut-rungut, marah-marah,meninggi suara,bermasam muka, merajuk atau lain-lain karenah yang menyusahkan Saidina Ali. Namun, Rasulullah saw berkata sebegitu terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Saidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah saw. Beliau juga turut bersama Rasulullah saw semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ni Rasulullah saw telah jatuh sakit. Saidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi saw membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum. Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Saidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi saw, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi, Madinah.
Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam Al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah swt. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong sera membangga diri atau bersenang-lenang. Sebaliknya, dengan kesusahan2 itulah, mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah swt. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.
No comments:
Post a Comment